Pages

Tuesday, 24 July 2012

Warisan Budaya Sabah

SABAH, The Malaysian Borneo 

Terletak di pulau yang indah iaitu Borneo, Sabah adalah salah satu daripada tiga belas negeri yang terdapat di Malaysia. Sabah adalah negeri yang kedua terbesar di Malaysia dan berkongsi pulau Borneo dengan Sarawak, Brunei dan Kalimantan Indonesia.

Sabah kaya dengan kepelbagaian alam semula jadi, budaya unik, pengembaraan menyeronokkan, pantai yang indah, dan masakan hebat. Kami mempunyai semua, daripada bunga terbesar di dunia - Rafflesia, salah satu gunung tertinggi di Asia Tenggara - Gunung Kinabalu, salah satu tapak menyelam terbaik di dunia - Pulau Sipadan.

Bukan sahaja anda akan kagum dengan tempat-tempat untuk melihat dan perkara yang perlu lakukan di sini, anda juga akan dirawat dengan hospitaliti Sabah yang unik. Meneroka budaya yang unik dan tradisi Sabah dan bersedia untuk mengalami kenangan manis seumur hidup!
Gunung Kinabalu

Tempat-tempat yang menarik di Sabah

Poring Hot Spring

Poring Hot Spring terletak kira-kira 40 km di timur laut pusat Taman Kinabalu. Poring bagi KadazanDusun merupakan sejenis spesies pokok Buluh yang tumbuh di kawasan itu. Ia terkenal kerana kolam air panas dan jambatan gantungnya yang unik.

Kolam air panas Poring dikenali kerana air panasnya mengandungi galian sulfur yang boleh menyegarkan badan. Kolam air panas semulajadi ini amat sesuai bagi menghilangkan rasa penat dan juga sakit sendi bagi mereka yang telah mendaki Gunung Kinabalu.

Para pelancong juga berpeluang menikmati pemandangan yang indah apabila menyusuri jambatan gantung sepanjang 157.8 m dengan ketinggian 41 meter di atas pokok.
Terdapat juga Taman Kupu-Kupu dan Pusat Pemuliharaan Orkid di sini.

The Tip of Borneo


 
Tanjung Simpang Mengayau juga dikenali sebagai Northernmost Tip of Borneo. Ia terletak di daerah Kudat, Sabah. Tempat ini merupakan titik pertemuan antara Laut Sulu dan Laut China Selatan.

Di Tanjung Simpang Mengayau, para pengunjung boleh menyaksikan pemandangan yang mempersonakan. Tempat ini dikelaskan sebagai salah satu tempat pusat pelancongan yang paling cantik di Sabah.

Gunung Kinabalu


Gunung Kinabalu merupakan lambang kemegahan kepada setiap penduduk yang tinggal di Sabah. Sesetengah penduduk menganggap Gunung Kinabalu ini merupakan gunung yang dapat memberikan semangat juang dan satu padu rakyat Sabah. Gunung Kinabalu banyak menyimpan cerita dan kisah-kisah yang misteri. Menurut kepercayaan masyararakat Kadazan Sabah, Gunung Kinabalu merupakan tempat bersemadinya semangat mereka selepas meninggal dunia.

Gunung Kinabalu terletak di dalam Taman Kinabalu yang berada sejauh 80km timur dari Kota Kinabalu.Gunung Kinabalu mempunyai ketinggian setinggi 4,095 meter daripada aras laut.

Pulau Sipadan


Pulau Sipadan ialah sebuah pulau lautan berhampiran dengan Semporna, sebuah bandar di Pantai Timur Sabah, Malaysia. Ia merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari paras air. Ia diwujudkan sebagai tempat perlindungan hidupan liar pada tahun 1933 dan persekitarannya yang asal telah dikekalkan sehingga kini.

Pemandangan alam bawah laut Sipadan yang penuh dengan kehidupan marin seperti barracuda, penyu, ikan dan sebagainya serta birai,  batu rungkupan, gua besar dan cerombong yang menegak di bawah air yang dibentuk oleh pelbagai karang menanti untuk disaksikan oleh para penyelam yang ingin menikmati tempat selam yang menyeronokkan dan tercantik di dunia.

Keunikan Masyarakat di Sabah

Pengenalan

Negeri Sabah mempunyai tidak kurang  dari tiga puluh etnik suku kaum . Sebuah  negeri yang kaya dengan tarian  kebudayaannya. Apabila tiba musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan juga perayaan Sabah Fest yang dirayakan pada Mei setiap tahun, orang ramai dapat menyaksikan pelbagai tarian kebudayaan yang dipersembahkan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan berkenaan.

Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum.  Etnik terbesar  di Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut.  Suku kaum yang lain ialah Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.

Perbezaan di antara berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, ugama, adat istiadat  dan pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka.

Kadazan Dusun

 Kaum Kadazan Dusun  merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan berasal daripada Indo-China. Kaum etnik ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam  tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya.

Kadazan Dusun membentuk 30 peratus populasi Sabah  yang terdiri daripada dua kaum, Kadazan dan Dusun  digabungkan bersama kerana berkongsi bahasa dan  budaya yang serupa. Bagaimanapun, bezanya etnik Kadazan tinggal di kawasan  lembah dan secara tradisi terlibat dalam   penanaman padi, sementara etnik Dusun tinggal di kawasan pergunungan di pedalaman Sabah.

Suku Kaum Bajau

 Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah, kaum Bajau merangkumi 15 peratus populasi penduduk negeri ini. Mereka asalnya adalah keturunan pelaut yang menyembah Omboh Dilaut (Tuhan Laut) dan sering dikenali sebagai gipsi laut. Ada yang telah meninggalkan kehidupan di laut dan menjadi peladang serta penternak. Mereka pula dikenali sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kepakaran mereka menunggang kuda. Terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Bajau seperti Ilanun, Sulu dan sebagainya. Kebanyakan masyarakat Bajau  mendiami  kawasan Semporna dan Kota Belud.  Kaum lelaki dalam kalangan  masyarakat ini terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir.

Adat resam kelahiran antara masyarakat Bajau dengan masyarakat Melayu di Semenanjung terdapat banyak persamaan di mana adat seperti berpantang, menempah bidan dan melenggang perut juga dilaksanakan oleh masyarakat tersebut. Ini kerana kebanyakan masyarakat Bajau di Sabah adalah beragama Islam.

Suku Kaum Murut

Kaum Murut merupakan etnik ketiga terbesar di Sabah, Murut merangkumi  tiga peratus populasi penduduk negeri ini. Secara tradisi, mereka menduduki kawasan  pedalaman di utara Borneo. Mereka juga adalah antara etnik Sabah terakhir untuk membuang amalan memburu kepala. Kini, mereka penanam padi huma dan ubi kayu, sambil memburu menggunakan sumpitan dan menangkap ikan. Kebanyakan kaum  pribumi di Sabah, pakaian tradisi mereka turut dihiasi dengan hasil seni manik yang menarik.

Suku Kaum Lain :

* Suku Kaum Momogun Rungus
* Suku Kaum Iranun
* Suku Kaum Idaan
* Suku Kaum Bisaya
* Suku Kaum Suluk
* Suku Kaum Tidung

Kesimpulan

Masyarakat pelbagai etnik dan kebudayaan hidup dalam keadaan yang harmoni dan saling  bantu membantu antara satu sama lain adalah merupakan keunikan bagi negeri Sabah. Masyarakatnya hidup dalam  keadaan  kepelbagaian  budaya dan menarik perhatian ramai pelancong luar  ke negeri ini.